Harga minyak kembali merosot pada hari Khamis setelah data inventori minyak mentah Amerika Syarikat menunjukkan lonjakan stok petrol yang menandakan permintaan bahan bakar lebih rendah dari dijangkakan apda awal musim panas.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent menurun di sekitar harga $71.70 setong, susut dari paras tertinggi sejak Mei 2019 pada $72.85 setong yang dicapainya pada sesi sebelum ini.
Sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula didagangkan merosot pada $69.43 setong, tergelincir dari tahap tertinggi sejak Oktober 2018 yang disentuh pada $70.55 setong.
Inventori petrol Amerika meningkat paling banyak sejak April 2020 pada minggu lalu, dengan kenaikan sebanyak 7.05 juta tong, menurut data rasmi oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA). Stok penyulingan, termasuk diesel juga menunjukkan peningkatan melebihi jangkaan.
Sementara bekalan minyak mentah dilaporkan menurun dengan ketara sebanyak 5.2 juta tong, tetapi ini hanya disebabkan peningkatan pengeluaran bahan bakar susulan lonjakan kegiatan penyulingan.
Walaupun bacaan data tidak seperti yang diharapkan, tetapi pasaran masih optimis bahawa permintaan terhadap bahan bakar akan meningkat lebih kuat ketika musim panas di AS memuncak.