Permulaan dagangan awal minggu menyaksikan logam berharga emas diniagakan di sekitar paras tertinggi empat bulan berikutan US dolar dan hasil bon AS yang lemah.
Walaupun US dolar meningkat, tetapi dagangan logam kuning itu tetap meraih sokongan untuk terus didagangkan menguat.
US dolar meningkat setelah sebilangan pembuat dasar Federal Reserve (Fed) memberi kenyataan mengenai kesediaan mereka untuk membincangkan pengurangan (tapering) dalam pelonggaran kuantitatif.
Bagaimanapun, disebabkan Pengerusi Fed, Jerome Powell telah berulang kali memberi amaran bahawa belum tiba masanya untuk membincangkan mengenai pengurangan, menyebabkan kebanyakan pelabur percaya bahawa bank pusat akan mengambil masa lebih lama lagi untuk benar-benar mengubah dasarnya.
Pada sesi Asia, emas diniagakan meningkat dengan berlegar di sekitar harga $1,883 per auns, tidak jauh dari tahap tertinggi yang dicapainya pada minggu lalu, pada $1,890. Sementara niaga hadapan emas pula diperdagangkan di sekitar harga $1,884 per auns.
Hasil bon AS 10 tahun pula terus memaparkan pergerakan perlahan di sekitar tahap yang sama pada 1.62%, sekali gus memberi peluang buat harga emas untuk mengukuhkan lagi kedudukannya.