Coinbase secara tiba-tiba mengumumkan akan menutup cawangan induknya yang terletak di San Francisco, sepenuhnya pada 2022 kerana mahu sepenuhnya bekerja secara remote.
Keputusan itu diumumkan sendiri di laman Twitter @CoinbaseNews semalam setelah yakin untuk tidak lagi bekerja mengikut model konvensional sejak berlaku penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia hingga menyebabkan perubahan norma kehidupan.
Coinbase menekankan mahu lebih desentralisasi tanpa perlu ke pejabat:
“Ia merupakan satu keputusan penting dalam memastikan tiada cawangan menjadi induk, dan hasil kerjaya akan bergantung sepenuhnya kepada kebolehan dan output, bukan lagi pada lokasi.”
Bagaimanapun, Coinbase tidak akan mengabaikan kebajikan pekerjanya. Firma itu menawarkan beberapa pejabat bersaiz kecil untuk dimanfaat pekerjanya seluruh dunia.
Ini mencerminkan keputusan satu lagi platform pertukaran kripto, Binance yang telah memutuskan tiada cawangan induk sejak dulu lagi kerana Bitcoin (BTC) tidak memiliknya.
Ketika keputusan ini dilihat akan menyukarkan mereka untuk bersua-muka, lagi-lagi jika memerlukan perjumpaan penting, CEO Coinbase, Brian Amstrong melihat ia sebagai satu peluang yang baik untuk mendapat pekerja berpotensi dari seluruh pelusuk dunia, bukan lagi terhad di San Francisco dan sekitarnya.
Mungkin, selepas Binance dan Coinbase, akan lebih banyak firma dari pelbagai sektor turut mengaplikasikan keputusan yang sama jika ia berjaya menghasilkan kejayaan yang lebih baik berbanding bekerja secara konvensional.