Baru sahaja pelabur mulai tenang dari kebimbangan mengenai varian Omicron, kenyataan terbaru daripada Ketua Pegawai Eksekutif Moderna kembali mencetuskan kegelisahan dalam pasaran.
Terbaru, Stephane Bancel mengatakan vaksin Covid-19 sedia ada berkemungkinan tidak akan memberikan tahap perlindungan sama terhadap Omicron seperti yang dilakukan terhadap varian lain sebelum ini.
Susulan kenyataan tersebut, hasil perbendaharaan susut lebih rendah pada 1.42%, dan mengheret dagangan dolar greenback ke paras terendah satu minggu berbanding pesaing utamanya.
Kelemahan US dolar telah memberi keuntungan kepada mata wang safe-haven yen dan swiss franc untuk kembali meningkat ke paras ketinggian dua minggu.
Sementara mata wang sensitif risiko juga turut terkesan dengan kenyataan CEO Moderna, membawa dagangan dolar Aussie dan kiwi kembali turun ke tahap terendahnya pada tahun ini.
Walaupun begitu, mata wang Eropah memaparkan reaksi berbeza dengan meningkat lebih tinggi, memanfaatkan penurunan yang dicatatkan oleh dolar greenback.
Euro meningkat tinggi pada sekitar harga 1.1350, selain turut meraih sokongan daripada jangkaan lonjakan dalam data inflasi Zon Eropah yang akan dikeluarkan pada jam 6 petang ini.
Terdahulu, data inflasi Jerman menunjukkan indeks harga pengguna meningkat paling tinggi sejak 1997, manakala di Perancis pula, inflasi meningkat ke tahap tertinggi 13 tahun.
Pound sterling juga menokok berbanding USD, tetapi merosot berbanding safe-haven yen, menandakan mata wang itu mendapat dukungan daripada kejatuhan greenback.