Dolar Amerika terus mengukuh pada sesi Asia disokong oleh kenyataan beberapa pembuat dasar mengenai pengurangan rangsangan, sementara matawang euro pula didagangkan rendah menjelang keputusan dasar Bank Pusat Eropah (ECB) pada malam ini.
Berbanding pesaing utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback diniagakan stabil pada 92.72, di tengah kesuraman pasaran saham AS yang ditekan oleh ketidakpastian terhadap kekuatan pemulihan ekonomi.
Beberapa pembuat dasar Federal Reserve (Fed) dilihat masih memberi isyarat bahawa bank pusat masih di landasan untuk tetap melakukan pengurangan pembelian bon pada tahun ini meskipun data pekerjaan lemah pada Ogos dan kesan daripada kebangkitan Covid-19.
Terbaru, Presiden Fed Dallas, Robert Kaplan mengatakan beliau masih menyokong pengurangan secara beransur-ansur mulai bulan Oktober, selagi prospek ekonomi tidak berubah secara asasnya.
Presiden Fed New York, John Williams mengatakan kemajuan dalam pasaran buruh adalah perlu sebelum memulakan pengurangan rangsangan. Bagaimanapun, beliau akan lebih menfokuskan kepada data keseluruhan, dan bukan hanya merujuk pada data satu bulan sahaja.
Williams menjangkakan tenaga kerja akan meningkat dalam beberapa bulan lagi. Kadar dan masa untuk pengurangan pembelian aset akan diputuskan dalam perbincangan bank pusat pada masa akan datang.
Sementara itu, ECB pada malam ini dijangka akan menarik semula rangsangan, dengan mengurangkan program pembelian bon kecemasannya kepada €60 billion dari €80 billion.
Namun begitu, matawang euro kekal didagangkan lebih rendah meskipun dengan jangkaan hawkish tersebut, kerana terkesan dengan kekuatan US dolar.