Dolar greenback melonjak tinggi selepas disokong oleh kenyataan Federal Reserve (Fed) yang memberi isyarat lebih jelas mengenai kemungkinan pengurangan pembelian bon akan dimulakan tidak lama lagi.
Ketika berucap di sidang media selepas keputusan dasar diumumkan, Powell menjelaskan bahawa jika ekonomi terus meningkat, FOMC dapat bertindak menurunkan pembelian bon bulanan pada pertemuan berikutnya pada bulan November.
Selain itu, dalam pernyataan dasar oleh Fed pula menunjukkan sembilan daripada 18 pembuat dasar bersedia menaikkan kadar faedah pada tahun depan sebagai tindak balas terhadap inflasi yang dijangkakan akan meningkat sehingga 4.2% tahun ini.
Susulan itu, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama melonjak ke paras ketinggian terbaru satu bulan pada 93.50.
Matawang euro yang pada mulanya meningkat, kembali menjunam ke paras terendah satu bulan susulan kenyataan bank pusat AS menyebabkannya kembali didagangkan di sekitar 1.1690 berbanding USD.
Sementara matawang pound juga jatuh ke tahap terendah satu bulan, dengan diniagakan lebih rendah pada sekitar harga 1.3620 berbanding greenback.
Selepas mengetahui keputusan mesyuarat FOMC, tumpuan pasaran kini beralih kepada penerbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan UK dan mesyuarat polisi Bank of England (BOE) hari ini.
Di sisi lain, dolar Aussie dan kiwi juga terkesan dengan pengukuhan USD dengan menyusut lebih rendah, menghapuskan keuntungan yang diraih susulan isu Evergrande yang bertambah baik.