Permulaan sesi pasaran Eropah menyaksikan dagangan US dolar sedikit berundur dari keuntungan yang dicatat susulan data indeks harga pengeluar (PPI) yang memberangsangkan.
Pengunduran ini mungkin dipengaruhi oleh kewaspadaan pelabur menjelang pengumuman keputusan mesyuarat polisi FOMC pada awal pagi Khamis (3.00 pagi waktu Malaysia).
Federal Reserve (Fed) dijangkakan secara meluas akan mempercepatkan pengurangan pembelian aset bulanannya bagi menangani tekanan inflasi yang semakin meningkat di Amerika Syarikat.
Persoalannya sekarang, berapa banyak pengurangan akan dibuat setiap bulan, dan adakah kadar faedah akan mula dinaikkan pada tahun depan?
Buat masa ini, pengurangan semasa yang dilaksanakan adalah sebanyak $15 bilion dan dijangka akan berakhir pada pertengahan tahun 2022. Pelabur kini meramalkan Fed akan meningkatkan jumlah tersebut kepada $25-$30 bilion.
Dot plot, yang menjadi kegunaan Fed untuk memberi isyarat prospek bagi kadar faedah, juga akan diteliti oleh pelabur sekiranya terdapat pembuat dasar yang menyokong kenaikan kadar yang lebih awal daripada dijangkakan.
Ketika penulisan, indeks dolar diniagakan sedikit susut pada sekitar harga 96.40 berbanding enam matawang utama lain.
Meneliti pergerakan matawang utama lain, euro didagangkan sedikit berubah di sekitar harga 1.1270, sementara dolar Aussie dan kiwi pula terus melemah di sekitar paras terendah sejak November.