Pemilik VeChain (VET) kini boleh membeli-belah di atas talian di beberapa platform terkemuka seperti Amazon, Ebay, Walmart dan Etsy menggunakan VET.
Khabar baik ini susulan daripada kerjasama yang termeterai antara Shopping.io dan VeChain.
Bagaimanapun, pembelian menggunakan VET di platform Amazon hanya terbuka kepada 7 negara sahaja setakat ini: Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Kanada, Jerman, Perancis, Itali, dan Sepanyol.
Sebagai langkah menggalakkan pembelian menggunakan VET, pemilik koin ini akan menerima diskaun sebanyak 2% bagi setiap pembelian menggunakan VET untuk dua minggu pertama bermula 9 Julai.
Pengasas dan CEO Shopping.io, Arbel Arif menyifatkan kerjasama dengan VeChain merupakan satu pencapaian terbaik bagi firma tersebut.
Manakan tidak, VeChain merupakan perintis aplikasi perniagaan dunia sebenar dengan operasi antarabangsa di Singapura, Luxembourg, Jepun, China, Perancis, Itali dan AS.
Sememangnya Shopping.io sejak awal lagi melancarkan kerjasama dengan beberapa matawang kripto terkemuka dan projek baru yang menarik, sesuai dengan visi syarikat. Secara tidak langsung, usaha ini juga merapatkan lagi jurang sektor kripto ke dalam industri e-dagang (e-commerce).
Ketika penulisan, VET didagangkan pada $0.07545, susut lebih 3% dalam 24 jam. Sejak mencatatkan paras tertinggi sepanjang masa pada 17 April, $0.2782, aset ini bagaimanapun susut lebih 72% ekoran daripada keruntuhan pasaran kripto.