Logam kuning emas perlahan-lahan memulakan pendakiannya ketika pembukaan sesi Eropah hari ini selepas mencecah paras terendah satu bulan pada sesi dagangan semalam.
Memasuki sesi Eropah, emas didagangkan meningkat dengan berlegar di sekitar paras harga $1,860 per auns, sementara niaga hadapan emas pula positif pada $1,859 per auns (3.05 petang waktu Malaysia).
Hasil perbendaharaan AS meneruskan kenaikan di paras tertinggi 10 bulan, ketika para pelabur bersedia untuk perbelanjaan kerajaan yang lebih besar di bawah pentadbiran baru Presiden Joe Biden.
Peningkatan ini telah mendorong matawang US dolar untuk meningkat selain turut disokong oleh jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) untuk menghentikan pelonggaran pada tahun ini berikutan prospek ekonomi yang lebih cerah.
Namun begitu, dengan lebih banyak pakej rangsangan dilaksanakan, ia akan meningkatkan perbelanjaan negara dan menyebabkan defisit dalam akaun semasa. Ini akan mendorong pelabur kembali mendapatkan emas untuk berlindung daripada risiko inflasi.
Penganalisis menjangkakan inflasi mungkin meningkat di atas sasaran 2% Fed secepatnya pada bulan April dan peningkatan ini akan menjadi pemangkin utama buat harga emas untuk meningkat lebih tinggi.