Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa Eropah kini berdepan dengan risiko gelombang baru coronavirus.
Jangkitan Covid-19 di Eropah dilaporkan telah meningkat sebanyak 10% dalam tempoh seminggu berikutan peningkatan pergaulan, perjalanan, perhimpunan dan kelonggaran sekatan sosial, selepas dua bulan mencatatkan penurunan.
Pengarah serantau WHO untuk Eropah, Hans Kluge pada hari Khamis, menggesa supaya rakyat terus berdisiplin dalam mematuhi peraturan kawalan bagi mengelak daripada gelombang baru wabak.
Kluge juga memberi amaran bahawa varian Delta akan menjadi dominan di negara-negara Eropah menjelang Ogos.
Varian Delta yang berasal dari India, dilihat sebagai ancaman terbesar di seluruh dunia. Agensi kawalan penyakit Kesatuan Eropah (ECDC) menganggarkan bahawa ia dapat menyumbang 90% kes pada akhir bulan depan.
Bagi membendung penularan, Eropah kini berusaha untuk meningkatkan vaksinasi setelah ketinggalan jauh di belakang negara utama lain. Setakat 1 Julai, kira-kira 38.9% daripada penduduk telah menerima kedua-dua dos vaksin, menurut data yang dikeluarkan dari ECDC.