Berikut merupakan sebahagian data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data Pengeluaran Perindustrian Jerman (Isnin 3.00 Petang): Mengukur kesihatan ekonomi semasa di Jerman sebagai ekonomi utama di Eropah, kadar pengeluaran industri diramalkan meningkat untuk bulan September walaupun pelbagai krisis yang menghimpit Eropah.
Data Inflasi China (Rabu 9.30 Pagi): Bakal memberi kesan terhadap sentimen pasaran semasa, kadar inflasi di ekonomi kedua terbesar dunia ini akan dinilai pelabur. Jankgaan untuk bacaan inflasi tahunan terbaru sedikit menurun ketika isu penularan Covid-19 di negara itu kembali menjadi tumpuan.
Data Inflasi AS (Khamis 9.30 Malam): Selepas mesyuarat FOMC dan laporan pekerjaan NFP jadi tumpuan minggu lalu, dagangan US dolar minggu ini akan dipacu pula oleh terbitan data indeks harga pengguna Amerika yang turut menjadi tumpuan Federal Reserve. Pasaran menjangkakan untuk penurunan kadar inflasi selepas bank pusat agresif meningkatkan kadar faedah.
Data KDNK UK (Jumaat 3.00 Petang): Pertumbuhan ekonomi di UK kekal dijangka lemah dengan bacaan Keluaran Dalam Negara Kasar untuk September masih diramalkan menguncup. Mata wang Pound bakal menerima tekanan tambahan selepas keputusan kenaikan kadar faedah oleh bank pusat minggu lalu turut gagal melonjakkan mata wang tersebut.
Data Tinjauan Sentimen Pengguna AS (Jumaat 11.00 Malam): Menutup tirai dagangan minggu ini, pelabur akan meneliti bacaan tinjauan pengguna oleh Universiti Michigan yang menjadi indikator perbelanjaan pengguna di Amerika Syarikat. Bacaan terbaru dijangka sedikit suram berbanding bulan sebelumnya.