Berikut merupakan sebahagian data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data PMI Pembuatan AS Tinjauan ISM (Isnin 10.00 Malam): Bacaan tinjauan terbaru untuk sektor pembuatan di Amerika Syarikat diramalkan menurun untuk bulan kedua berturut-turut bagi bacaan bulan Julai. Kemerosotan sektor-sektor utama sememangnya dijangka dengan isyarat kemelesetan ekonomi yang semakin jelas.
Mesyuarat Polisi Bank Pusat Australia (Selasa 12.30 Tengahari): Reserve Bank of Australia (RBA) dijangka akan meningkatkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada mesyuarat edisi Ogos seperti mana langkah pengetatan dasar yang sedang dilaksanakan oleh bank-bank pusat yang lain. Keputusan mesyuarat dijangka akan memberi impak ketara terhadap pergerakan dolar Australia minggu ini.
Data PMI Perkhidmatan AS Tinjauan ISM (Rabu 10.00 Malam): Tinjauan sektor perkhidmatan di Amerika Syarikat juga diramalkan untuk merosot dengan tekanan kemelesetan ekonomi yang melanda. US dolar bakal didagangkan tertekan pada minggu ini jika bacaan data sektor ekonomi kekal suram.
Mesyuarat Polisi Bank Pusat England (Khamis 7.00 Malam): Pergerakan mata wang Pound yang suram pada minggu sebelum ini bakal dihangatkan dengan keputusan mesyuarat Bank of England (BOE) minggi ini dengan ramalan kenaikan kadar sebanyak 50 mata asas. Pasaran juga menjangka ahli mesyuarat bank pusat sebulat suara mengundi untuk peningkatan kadar faedah.
Laporan Pekerjaan NFP AS (Jumaat 8.30 Malam): Menjadi tumpuan Federal Reserve (Fed) dalam penetapan dasar monetari, komponen data pekerjaan Amerika Syarikat akan dipantau. Pertambahan pekerjaan untuk bulan Julai diramalkan lebih rendah berbanding Jun sementara kadar pengangguran diunjurkan tidak berubah. Pelabur akan menilai reaksi mata wang US dolar selepas data diterbitkan untuk isyarat pergerakan pada minggu berikutnya.
Laporan Pekerjaan Kanada (Jumaat 8.30 Malam): Turut diterbitkan bersama laporan data NFP, data pekerjaan Kanada bakal memberi impak terhadap pergerakan dolar Kanada di penghujung minggu. Pertambahan pekerjaan pada Julai dijangka meningkat semula setelah angka yang merosot pada bulan sebelumnya, sementara kadar pengangguran dijangka catat peningkatan.