Berikut merupakan sebahagian data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data Inflasi Jerman (Selasa): Bacaan awal bagi kadar inflasi bulanan di Jerman dijangka mula catatkan penurunan kembali untuk bulan Ogos. Data ini menjadi tumpuan berikutan Jerman merupakan ekonomi utama di Eropah.
Data Keyakinan Pengguna AS (Selasa 10.00 Malam): Bacaan yang mengukur keyakinan kewangan ini akan memberi petunjuk terhadap perbelanjaan pengguna di Amerika Syarikat dan boleh menjadi petanda awal untuk bank pusat membuat penilaian dalam penetapan dasar monetari. Bacaan terbaru diramalkan diterbit dengan angka yang meningkat berbanding sebelumnya.
Data Inflasi Eropah (Rabu 5.00 Petang): Selepas data Jerman di awal minggu, terbitan data inflasi tahunan Eropah pula akan menyusul dengan angka bacaan yang sedikit meningkat untuk bulan Ogos. Kadar inflasi yang tinggi berkemungkinan akan mendorong bank pusat untuk meneruskan langkah pengetatan dasar selepas kenaikan kadar faedah pertama oleh ECB untuk tempoh lebih 1 dekad.
Data Pekerjaan ADP NFP AS (Rabu 8.00 Malam): Pertambahan pekerjaan di Amerika Syarikat untuk sektor swasta pada bulan Ogos diramalkan meningkat kepada lebih 300,000, dua kali ganda lebih tinggi berbanding angka bacaan bulan sebelumnya.
Data PMI Pembuatan AS Tinjauan ISM (Khamis 10.00 Malam): Data tinjauan untuk sektor pembuatan di Amerika Syarikat akan menjadi tumpuan untuk penilaian pelabur. Tiada perubahan ketara dijangkakan untuk angka bacaan terbaru yang masih berada di paras yang stabil.
Laporan Data Pekerjaan NFP AS (Jumaat 8.30 Malam): Menjadi tumpuan utama pada minggu ini, terbitan bagi laporan pekerjaan Amerika Syarikat akan memberi petunjuk terbaru kepada Federal Reserve (Fed) untuk penetapan dasar monetari bank pusat selepas ucapan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell telah diberi perhatian hujung minggu lalu.