Berikut merupakan sebahagian data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data Keluaran Dalam Negara Kasar UK (Isnin 2.00 Petang): Bacaan bulanan pertumbuhan ekonomi UK untuk bulan Julai menjadi tumpuan pada sesi Eropah di awal minggu dengan jangkaan angka yang positif berbanding penguncupan pada bacaan bulan sebelumnya.
Laporan Data Pekerjaan UK (Selasa 2.00 Petang): Sektor buruh di UK bakal dinilai menerusi komponen data pekerjaan yang akan diterbitkan minggu ini yang boleh mempengaruhi keputusan penetapan dasar monetari oleh bank pusat. Mesyuarat polisi bank pusat England pada minggu ini ditunda pada minggu hadapan berikutan peristiwa kematian Ratu Elizabeth.
Sentimen Ekonomi Eropah Tinjauan ZEW (Selasa 5.00 Petang): Bakal mempengaruhi pergerakan mata wang Euro, data tinjauan ZEW akan memberi gambaran untuk kesihatan semasa ekonomi Eropah yang kini masih bergelut dengan krisis tenaga yang berlarutan.
Data Inflasi AS (Selasa 8.30 Malam): Bacaan data indeks harga pengguna di Amerika dijangka untuk catatkan penurunan susulan langkah pengetatan dasar yang agresif oleh Federal Reserve (Fed) dikekalkan. Mesyuarat FOMC pada minggu hadapan pula akan menjadi tumpuan pasaran.
Data Inflasi UK (Rabu 2.00 Petang): Inflasi tahunan UK diramalkan kekal di paras tertinggi 40 tahun untuk bacaan terbaru. Justeru, pasaran menjangkakan Bank of England (BOE) akan lebih agresif menaikkan kadar faedah pada mesyuarat polisi yang ditunda pada minggu hadapan.
Data Indeks Harga Pengeluar AS (Rabu 8.30 Malam): Data PPI AS menyusuli terbitan data inflasi dengan ramalan angka yang sedikit pulih berbanding bacaan sebelumnya.
Laporan Data Pekerjaan Australia (Khamis 9.30 Pagi): Selepas ekonomi kehilangan sekitar 40,000 pekerjaan pada Julai, pertambahan pekerjaan pada bulan Ogos di Australia diramalkan kembali meningkat kepada 35,500. Sementara, kadar pengangguran dijangka untuk kekal di paras 3.4%.
Data Jualan Runcit AS (Khamis 8.30 Malam): Kadar jualan runcit di Amerika akan dipantau untuk penilaian terhadap perbelanjaan pengguna bagi ekonomi terbesar di dunia itu. Bacaan yang merosot akan memberi tekanan pada pergerakan US dolar di penghujung minggu.