Pasaran bergerak tenang menuju dagangan penghujung minggu dengan tumpuan pasaran kini terarah kepada penerbitan laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat.
Pada sesi Asia, pelabur menyaksikan indeks dolar didagangkan stabil pada 105.85 berbanding mata wang utama selepas mencatat penyusutan pada sesi sebelum ini.
Ekonomi AS dijangka menambah sebanyak 250,000 pekerjaan pada bulan Jun, menurun daripada 372,000 yang dicatatkan bulan sebelumnya sementara kadar faedah pula diramalkan kekal pada 3.6%.
Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell sebelum ini mengatakan beliau tidak melihat bahawa ekonomi AS dalam kemelesetan disebabkan pasaran pekerjaan yang terus mengukuh.
Sekiranya bacaan NFP yang diterbitkan pada hari ini terus menguat dan pertumbuhan gaji lebih kukuh, ia akan menyokong panduan Fed ke hadapan dalam menetapkan dasar.
Sementara itu, pasaran telah diperlihatkan dengan keputusan mesyuarat polisi Bank of England (BOE) yang menepati jangkaan secara meluas untuk meningkatkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas kepada 1.75%, tertinggi sejak 2008.
Selain itu, bank pusat itu juga turut memberi amaran bahawa Britain akan jatuh ke dalam kemelesetan pada tahun ini berikutan langkah agresifnya.
BOE terus bertekad untuk memerangi inflasi selepas mengumumkan akan menjual bon kerajaan yang telah terkumpul sejak krisis kewangan 2007-2009 yang bernilai £40 bilion.
Proses ini dikenali sebagai pengetatan kuantitatif, dijangka mengukuhkan kesan kadar faedah yang lebih tinggi dengan mengurangkan jumlah wang yang beredar dalam ekonomi.