Kenaikan US dolar terhenti ketika pasaran memasuki sesi Eropah, menyaksikan raja mata wang itu susut dari paras ketinggian 20 tahun yang dicapainya sebelum ini.
Tumpuan pelabur kini disasarkan kepada penerbitan data indeks harga pengeluar (PPI) Amerika Syarikat yang bakal dikeluarkan pada sesi New York.
Setelah mencatat peningkatan lebih tinggi dalam harga pengguna, data PPI juga dijangka menunjukkan pengukuhan pada bulan Mei di tengah-tengah lonjakan kos tenaga dan gangguan rantaian bekalan dunia.
Walaupun begitu, penyusutan US dolar gagal dimanfaatkan oleh mata wang utama lain untuk meningkat berikutan sentimen pasaran yang menyuramkan.
Lonjakan inflasi yang berterusan dan jangkaan kenaikan lebih besar oleh Federal Reserve (Fed) membuatkan pelabur bimbang terhadap kemungkinan berlakunya kemelesetan global.
Hal ini mendorong mata wang sensitif risiko, dolar Aussie dan kiwi kekal didagangkan melemah pada paras terendah satu bulan.
Euro pula cuba bangkit dari tahap terendahnya, dengan pergerakan harga menuju ke paras 1.0500 berbanding US dolar.
Pound pula kekal rendah selepas ditekan oleh bacaan data pekerjaan UK yang kurang memberangsangkan pada bulan April, menunjukkan peningkatan pertama kali dalam kadar pengangguran sejak setahun yang lalu.
Ini membuatkan pelabur tertanya-tanya akan langkah yang akan diambil Bank Pusat England (BOE) pada mesyuarat polisi yang bakal berlangsung pada hari Khamis.