Amerika Syarikat melancarkan tindakan baharu untuk menyekat penjualan teknologi cip komputer ke China dalam usaha mengekang kemajuan tentera negara itu.
Dalam langkah itu, ia akan melarang firma AS daripada menjual cip tertentu yang digunakan untuk superkomputer dan artificial intelligence kepada firma China.
Impaknya, ia akan menyukarkan China dalam mendapatkan cip termaju untuk teknologi terkini.
Lantaran itu, saham dalam pembuat cip komputer utama Asia mengalami kerugian ketara pada hari Selasa.
Saham pembuat cip Taiwan TSMC jatuh 7.7%, Samsung Electronics Korea Selatan susut 2.3% manakala Tokyo Electron Jepun junam 5.5%.
Kejatuhan ini berlaku selepas pasaran saham di ketiga-tiga negara tersebut dibuka semula susulan penutupan sempena cuti umum pada Isnin.
Sementara itu di AS pada Isnin, indeks Nasdaq ditutup pada paras terendah sejak Julai 2020 susulan kejatuhan saham dalam pembuat cip Intel, Nvidia, Qualcomm dan Advanced Micro Devices.
Ketika khabar angin mengenai rancangan untuk sekatan ini menular sejak beberapa minggu sebelum ini, China telah mengkritik langkah itu.