Memasuki sesi Eropah, US dolar kembali didagangkan stabil setelah mencatat penyusutan susulan keputusan mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis.
Federal Reserve (Fed) memberi isyarat untuk lebih banyak kenaikan kadar faedah pada mesyuaratnya akan datang selepas menaikkan kadar sebanyak 75 mata asas.
Bagaimanapun, prospek suram mengenai pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang mungkin terjejas akibat langkah agresif Fed membuatkan raja mata wang itu menyusut.
Tumpuan pelabur kini terarah kepada mesyuarat polisi bank pusat England (BOE) yang akan berlangsung pada 7 petang (waktu Malaysia) dengan jangkaan kenaikan sebanyak 25 mata asas.
Euro pula kekal melemah selepas Bank Pusat Eropah (ECB) mengumumkan untuk menggunakan fleksibiliti dalam melabur semula penebusan Program Pembelian Kecemasan Pandemik (PEPP) dengan tujuan mengekalkan fungsi mekanisme penghantaran dasar monetari.
Dolar Aussie pula sedikit berubah dengan keuntungan yang terbatas daripada bacaan data pekerjaan yang bercampur-campur pada bulan Mei.
Sementara dolar New Zealand pula mendatar selepas dikecewakan oleh data pertumbuhan New Zealand yang menunjukkan penguncupan pada suku pertama tahun ini.
Di sisi lain, dolar Kanada merosot ke paras terendah satu bulan di tengah-tengah kejatuhan dalam dagangan minyak mentah dunia.