Logam kuning emas didagangkan sedikit berubah pada awal minggu dengan tumpuan pasaran kini terarah kepada penerbitan data inflasi Amerika Syarikat.
Pada sesi Asia, spot emas diniagakan berlegar pada sekitar harga $1,715 per auns, manakala niaga hadapan emas pula diperdagangkan sedikit lebih tinggi pada $1,726 per auns.
Emas, sebelum ini telah mendapat sokongan daripada kelemahan US dolar yang telah merosot dari puncak tertinggi 20 tahun di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung oleh pasaran.
Bagaimanapun, pelabur mula berhati-hati menjelang pengeluaran data inflasi AS pada Selasa yang dijangka akan terus mencatat penurunan pada bulan Ogos sebagai reaksi kepada langkah pengetatan dasar agresif oleh Federal Reserve (Fed).
Namun begitu, masih terlalu awal untuk mengatakan bacaan data ini bakal menentukan sama ada Fed akan memperlahankan pengetatannya.
Hal ini kerana, bank pusat itu telah memberitahu bahawa mereka tidak akan melihat data hanya berdasarkan satu hingga dua bulan sahaja untuk mengubah pendirian Fed.
Turut mendapat perhatian pelabur adalah pengeluaran data jualan runcit AS, yang akan menjadi pengukur penting untuk menentukan bagaimana pengguna bertahan apabila Fed menaikkan kadar secara agresif.