Minyak mentah didagangkan stabil pada sesi Eropah selepas mendapat sokongan daripada ketegangan Rusia dan Ukraine yang meningkatkan kebimbangan pelabur terhadap kekurangan bahan api global.
Rusia tanpa dijangka mengumumkan untuk menghentikan bekalan gas aslinya ke Poland dan Bulgaria mulai Rabu ketika Kesatuan Eropah (EU) masih lagi dalam pertimbangan untuk menyekat import minyak dan gas dari Moscow.
Langkah itu dibuat selepas kedua-dua negara menolak permintaan Presiden Vladimir Putin untuk membayar import gas Rusia menggunakan mata wang rubel.
Pada sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan sedikit meningkat pada sekitar harga $105 setong dan WTI Amerika Syarikat pula stabil pada $102 setong.
Bagaimanapun, situasi Covid-19 di China terus membebankan pasaran berikutan kebimbangan bahawa Beijing mungkin menyertai Shanghai untuk melaksanakan langkah penutupan.
Kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global dan permintaan bahan api yang suram membantu mengimbangi tekanan daripada tindakan terbaharu Rusia, sekali gus membataskan pergerakan harga minyak dari meneruskan peningkatan lebih tinggi.