‘Habislah Rusia mula bengang dah ni.’
Pengawal selia komunikasi Rusia kembali menghantui Apple Inc dengan menuntut penjelasan ke atas tindakan App Store yang mengeluarkan aplikasi Vkontakte (VK) daripada library mereka.
Difahamkan aplikasi VK, platform media sosial keluaran Rusia seakan-akan Facebook, telah dikeluarkan dari App Store sehingga menyebabkan sejumlah 75 juta pengguna Moscow gagal mengakses akaun mereka.
Ekoran daripada itu, Roskomnadzor telah menuntut penjelasan ke atas pengeluaran tersebut kepada Apple.
Umumnya Roskomnadzor telah menjadi antara ‘musuh’ utama kepada firma teknologi asing dengan mengeluarkan denda atas sebarang pelanggaran perundangan yang dianggap haram oleh Rusia.
Kerancakan Roskomnadzor lebih terselah selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang menyaksikan kuasa-kuasa Barat mengenakan sekatan perdagangan.
Sebagai maklum balas, pihak Apple mengatakan tindakan mengeluarkan aplikasi tersebut dibuat bagi mematuhi undang-undang dalam bidang kuasa di mana syarikat itu beroperasi.
Jelasnya, aplikasi tersebut sedang diedarkan oleh pembangun yang dimiliki majoriti atau dikawal majoriti individu di United Kingdom (UK) dan disebabkan itu mereka mematuhi peraturan negara tersebut tanpa mengira lokasi.
Dalam pada itu, wakil Rusia menyelar tindakan serta sekatan tersebut dan menyifatkannya sebagai diskriminatif terhadap kebebasan pengguna internet untuk perolehi maklumat atau berkomunikasi.
Ironinya, Rusia sendiri turut menyekat akses rakyatnya daripada aplikasi sosial luar seperti Facebook, Instagram dan Twitter sejak pencerobohan berlaku pada Februari lalu.