Para pemimpin Eropah telah merancang untuk menghentikan import arang batu Rusia secara berperingkat sebagai tindak balas kepada peristiwa mengerikan di Bucha, utara Ukraine.
Terbaharu, Suruhanjaya Eropah mencadangkan larangan berperingkat terhadap import arang batu Rusia yang bernilai €4 bilion ($4.3 bilion) setahun sebagai sebahagian daripada pakej sekatan kelima yang dibuat untuk meningkatkan tekanan ke atas Moscow.
Selain itu, cadangan lain turut menyasarkan import teknologi dan pembuatan Rusia, bernilai €10 bilion lagi ($10.9 bilion).
Eropah sebelum ini telah mengenakan sekatan hukuman ke atas ekonomi Rusia sejak Presiden Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan dimulakan ke atas Ukraine pada akhir Februari, tetapi tidak menyasarkan kepada sektor tenaga mereka.
Bagaimanapun, penemuan sejumlah besar mayat di bandar yang ditinggalkan tentera Rusia pada hujung minggu telah membangkitkan kemarahan dunia, sehingga Amerika Syarikat dan Eropah berjanji untuk mengenakan sekatan lebih banyak terhadap ekonomi Moscow.
Hal ini juga membuatkan Kesatuan Eropah (EU) mempertimbangkan untuk melaksanakan larangan pada eskport tenaga Rusia, termasuk minyak dan gas.
Butiran lanjut mengenai sekatan baharu tersebut dijangka diterbitkan pada Rabu, di mana duta EU akan bertemu berbincang mengenainya. Langkah itu masih memerlukan kelulusan semua 27 negara anggota.
Sekatan terhadap arang batu akan menjejaskan beberapa negara Eropah, tetapi ia adalah antara sumber tenaga yang paling mudah untuk dihentikan dan kebanyakan negara sudah melakukan perkara tersebut.