Lepas ni telan je ubat Paxlovid macam makan panadol kalau kena Covid-19. Sebelum anda mengecam penulis atau memulakan pergaduhan dengan para antivaksin, dengarkan dulu penerangan mengenai pil Paxlovid ini.
Pengawal selia produk perubatan China telah memberikan kelulusan bersyarat kepada ubat Covid-19 Pfizer, Paxlovid sementara Singapura telah menerima batch pertama pil tersebut.
Memetik laporan daripada Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat (AS), Paxlovid keluaran Pfizer merupakan sejenis pil untuk kegunaan oral bagi merawat penyakit Covid-19 bergejala ringan atau sederhana untuk pesakit dewasa dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.
Paxlovid mengandungi 2 tablet nirmatrelvir (ubat antivirus) dan 1 tablet ritonavir (ubat yang mengekalkan paras darah nirmatrelvir untuk keberkesanan antivirus) yang dibungkus bersama dalam 1 kapsul.
Berbalik kepada cerita asal, China walaupun telah meluluskan penggunaan ubat tersebut, namun masih tidak jelas sama ada mereka sudah berbincang dengan Pfizer untuk mengimport pil tersebut.
Umumnya, China masih belum pernah meluluskan sebarang vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh pembuat ubat luar negara.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung dalam satu posting di Facebook berkata mereka sudah menerima batch pertama pil tersebut.
Tambahnya lagi, penggunaan pil tersebut akan diberi keutamakan kepada sesiapa yang berisiko tinggi terkena penyakit Covid-19 yang teruk.
Setakat ini pihak Pfizer menjangkakan jualan ubat tersebut bernilai US$22 bilion pada 2022, selain turut menyatakan sedang berbincang dengan lebih 100 negara lain mengenai Paxlovid.
Hujar Pfizer lagi, keputusan percubaan akhir rawatan menggunakan pil tersebut berjaya mengurangkan peluang kemasukan ke hospital atau kematian sebanyak 89%.