Minyak mentah didagangkan sedikit berubah pada sesi dagangan Selasa di tengah-tengah ketidakpastian dalam isu sekatan Covid-19 di China.
Walaupun pihak berkuasa China telah menafikan khabar angin mengenai kesediaannya untuk melonggarkan sekatan, namun Wall Street Jounal menyatakan ia sedang mempertimbangkan langkah ke arah pembukaan semula.
Menurut laporan itu, pegawai China semakin bimbang tentang impak daripada dasar sifar Covid mereka yang telah menghancurkan banyak sektor terutamanya perniagaan dan pembuatan.
Ini membuatkan ketidakpastian berlegar dalam pasaran, menyaksikan dagangan minyak mentah tidak banyak mempamerkan perubahan dalam pergerakan.
Menjelang penghujung sesi Asia, niaga hadapan minyak Brent sedikit susut pada $97 setong, manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula berlegar pada $91 setong.
Dalam pada itu, pasaran kini bersiap sedia untuk penguatkuasaan larangan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak Rusia pada bulan Disember yang akan diikuti dengan penghentian import produk minyak pada Februari.