Data pekerjaan Australia memperlihatkan bacaan bercampur-campur dengan berlakunya pengurangan dalam pekerjaan dan kadar pengangguran jatuh ke paras terendah terbaharu 48 tahun pada bulan Julai.
Menurut Biro Perangkaan Australia (ABS), perkerjaan Australia telah berkurang sebanyak 40,900 pada Julai daripada pertambahan 88,400 yang dicatatkan pada bulan Jun.
Ia juga merupakan kemerosotan pertama yang direkodkan dalam pekerjaan sejak November 2021.
Selain daripada itu, kadar penyertaan dalam pekerjaan di negara itu juga menurun kepada 66.4% berbanding 66.8% ramalan pasaran dan bacaan sebelumnya.
Sementara kadar pengangguran pula dilaporkan jatuh lebih rendah kepada 3.4% pada bulan lalu, iaitu paras terendah terbaharu sejak Ogos 1974.
Keputusan yang bercampur-campur ini mungkin akan mendorong Reserve Bank of Australia (RBA) untuk mempertimbangkan kenaikan lebih rendah dalam kadar faedah pada bulan akan datang.
Bagaimanapun, pasaran buruh Australia yang ketat setakat ini gagal memacu lonjakan ketara dalam pertumbuhan gaji. Angka pada hari Rabu menunjukkan indeks harga upah meningkat 2.6%, kurang daripada separuh kadar inflasi.
Susulan penerbitan data ini, dolar Aussie didagangkan merosot lebih rendah selain turut terkesan dengan dagangan USD yang lebih kukuh pada sesi Asia