Syarikat Walt Disney kini dilihat sedang berusaha mengembangkan syarikatnya ke pasaran kripto secara global selepas menyiarkan tawaran peluang pekerjaan baharu berkaitan non-fungible tokens (NFT) dan Metaverse.
Menurut penyenaraian di laman web kerjaya Disney, syarikat tersebut berada dalam proses untuk mengupah peguam korporat berpengalaman dan penasihat utama bagi mengendalikan urus niaga yang melibatkan NFT, Metaverse, blockchain serta kewangan terdesentralisasi (DeFi).
Secara khusus, konglomerat hiburan sedang mencari seseorang untuk memberikan nasihat undang-undang dan sokongan terhadap produk NFT bagi memastikan pelanggan mematuhi semua peraturan semasa berada di negara A.S atau di peringkat antarabangsa.
Tugasan lain termasuklah mendalami projek NFT, blockchain, pasaran pihak ketiga, menyediakan nasihat undang-undang berkaitan mata wang kripto serta membimbing usaha Disney berhubung dengan teknologi baru muncul.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bob Chapek, syarikatnya bukan sahaja bersedia menggabungkan aset fizikal dan digital dalam Metaverse malah memfailkan paten untuk “virtual-world simulator” .
Namun, buat masa sekarang syarikat Walt Disney tidak merancang untuk menggunakan paten tersebut kerana ia boleh mengakibatkan Disney Metaverse diceroboh.
Awal tahun ini, syarikat tersebut memfokuskan augmented reality (AR), NFT dan artificial intelligence (AI) dalam 2022 Disney Accelarator Program dengan memilih enam syarikat untuk mendapat manfaat daripada platform pembangunannya.