Pelaksanaan kenaikan kadar faedah oleh Bank of England (BOE) dan Swiss National Bank (SNB) dalam mengetatkan dasar monetarinya telah mengembalikan kebimbangan pasaran, menyebabkan ekuiti kembali jatuh.
Rali yang dinikmati sebaik mesyuarat Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat (AS) menyaksikan kenaikan 75 mata asas, kenaikan terbesarnya sejak 1994, telah dihadkan apabila pelabur kembali bimbang akan propsek ekonomi selepas kenaikan kadar oleh 2 bank pusat tersebut.
SNB telah bertindak menaikan kadar sebanyak 50 mata asas buat kali pertama sejak 15 tahun sementara BOE melaksanakan pengetatan dasar buat kali ke-5 pada 25 mata asas selepas Bank Pusat Eropah (ECB) menjanjikan sokongan pasaran bon.
Rentetan itu, tolok MSCI seluruh dunia menyusut ke paras terendah 19 bulan setengah pada 2.25%.
Wall Street menyaksikan indeks-indeks utama didagangkan pada paras terendah setahun setengah dengan Dow Jones Industrial Average merosot 2.5%, S&P 500 menjunam 3.3% dan Nasdaq Composite menurun 4.1%.
Indeks meluas MSCI Asia-Pasifik saham luar Jepun menggelongsor 0.84% dan indeks STOXX 600 pan-Eropah tergelincir 2.47%.
Saham-saham Switzerland juga jatuh 19% dan penanda aras FTSE 100 Britain susut 3.14% ekoran tindakan kenaikan kadar oleh bank pusat masing-masing.
Tatkala itu, hasil perbendaharaan 10 tahun AS mencapai 3.495% sebelum berundur sedikit pada 3.3125% namun kekal di paras tertinggi yang dicatat Khamis pada 3.498%.
Hasil 10 tahun Jerman melompat 26 mata asas selepas kenaikan kadar oleh SNB yang memberi tekanan kepada harga bon Eropah apabila pelabur bertaruh untuk kenaikan kadar ECB.
Aliran mata wang pula menyaksikan Franc Swiss melompat 2.9% di paras tertinggi 20 tahun pada 105.79 sementara mengheret indeks dolar turun 0.95% pada 103.80 selepas pengumuman SNB.
Sterling yang pada mulanya menjunam sebaik pengumuman BOE, namun memulih pada sesi New York untuk meningkat 1.4% pada $1.23485.
Bagi komoditi pula, minyak mentah AS capai 1.45% pada $116.98 dan minyak Brent tambah 0.57% pada $119.19 selepas pengumuman sekatan baru pada Iran oleh Presiden Joe Biden menjelang kebimbangan bekalan.
Emas naik apabila dolar dan hasil Perbendaharaan melemah dengan spot emas lonjak 1.2% pada $1,854.54 per auns.