‘Perghh, biar betul Elon Musk manipulasi harga untuk beli Twitter?’
Beberapa pelabur Twitter Inc telah bertindak menyaman jutawan Elon Musk atas tuduhan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla itu ‘memanipulasi‘ harga saham syarikat ketika jatuh.
Menurut pemfailan, Musk dikatakan gagal mengumumkan pembelian melebihi 5% kepentingan atau $156 juta dalam Twitter pada 14 Mac lalu.
Sebaliknya, pengumuman pembelian kepentingan sebanyak 9.2% tersebut hanya dibuat pada awal April semasa harga saham berada di paras rendah.
Menurut akta Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC), setiap pembelian kepentingan melebihi 5% perlu didedahkan dalam tempoh 10 hari selepas pembelian.
Ekoran daripada itu, para pelabur telah meminta ganti rugi punitif serta pampasan yang masih tidak ditentukan nilainya.
Selain itu, para pelabur turut menamakan Twitter sebagai defenden dengan alasan bahawa syarikat gagal menyiasat kelakuan Musk, namun tidak menuntut sebarang ganti rugi dari firma.
Setakat ini, pihak Musk dan Twitter masih belum memberi sebarang kenyataan lanjut atau sebarang komen mengenai saman oleh para pelabur.
Dalam pada itu, terdapat banyak lagi kontroversi disebalik pemerolehan saham Twitter oleh Musk, antaranya:
- Kejatuhan saham Tesla memberi masalah besar kepada keupayaan Musk untuk perolehi Twitter kerana beliau mencagarkan saham syarikat kereta elektrik (EV) tersebut untuk mendapatkan pinjaman.
- Musk telah dikritik kerana menangguhkan pembelian Twitter dengan alasan spam bot disebalik sedang cuba memacu lagi penurunan harga saham syarikat tersebut.
- Musk pernah disaman oleh dana pencen Florida yang ingin menghalang beliau daripada menyelesaikan pengambilalihan $44 bilion syarikat itu sebelum 2025.