Pengasas Ethereum, Vitalik Buterin nampaknya tidak sekepala dengan idea non-fungible token (NFT) lagi-lagi siri Bored Ape Yacht Club (BAYC).
Dalam kenyataan terbaharu bersama TIME Magazine baru-baru ini, Buterin mengkritik hebat seunit BAYC mampu mencecah ke paras harga yang tidak masuk akal:
“Ia merisikokan apabila anda memiliki sejumlah koleksi beruk bernilai $3 juta ini dan secara tidak langsung menjadi satu bentuk pertaruhan yang berbeza.”
Sebagai rekod, BAYC merupakan antara siri NFT yang paling popular dan menjadi kegilaan luar biasa selepas pelancaran ApeCoin (APE) pada minggu lepas.
Koleksi ini dilancarkan di rangkaian Ethereum dan sedia untuk didagangkan di platform OpenSea.
Tidak cukup dengan itu, Buterin menegaskan bahawa penggunaan kripto dapat dilihat manfaatnya ketika berlaku peperangan Rusia-Ukraine, bukan untuk bersuka-ria.
Sebagai penyokong Ukraine, Buterin menjelaskan:
“Situasi dua negara itu membuktikan bahawa sektor kripto bukanlah untuk hiburan atau dipermainkan dengan kehadiran gambar monyet bernilai jutaan dolar. Sebaliknya, ia merealisasikan perkara yang memberi kesan positif kepada dunia.”
Setakat hari ini, Ukraine telah menerima sumbangan dalam bentuk mata wang kripto bernilai $7.5 juta (dalam ether) dan $650.39 ribu (lain-lain aset kripto) menjadikan nilai keseluruhan yang diterima – $8.15 juta.
Buterin jelas kecewa, “Saya lebih suka jika Ethereum menjadi kritikan berbanding menjadi sebuah rangkaian yang sia-sia”, barangkali merujuk kepada rangkaiannya yang sering dikritik kerana kos gas yang tinggi.
Ketika penulisan, koin natif Ethereum, ETH didagangkan pada $2.971.83 seunit, susut lebih 1% dalam 24 jam.