Harga minyak melanjutkan kenaikan lebih tinggi di atas paras harga $90 setong pada hari Jumaat ketika cuaca sejuk yang melanda Amerika Syarikat mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan bahan bakar global.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat didagangkan menguat pada $90.90 setong. Ini merupakan kali pertama ia melepasi harga $90 sejak Oktober 2014.
Sementara itu, dagangan minyak Brent turut didagangkan mengukuh pada $91.50 setong dengan merekodkan paras ketinggian baharu. Ia sebelum ini telah menyentuh harga $90 buat kali pertama pada minggu lepas.
Ribut salji yang berterusan merentasi bahagian tengah dan timur laut Amerika sejak Khamis telah menyebabkan bekalan elektrik terputus dan mengancam bekalan bahan bakar yang sudah sedia lemah.
Dalam pada itu, OPEC+ yang diketuai oleh Arab Saudi dan Rusia telah mengumumkan untuk mengekalkan pengeluaran tambahannya sebanyak 400,000 tong sehari pada Rabu.
Hal ini turut menyokong dagangan minyak lebih tinggi meskipun terdapat kebimbangan mengenai kekurangan bekalan disebabkan ketegangan geopolitik Eropah Timur dan Timur Tengah yang masih lagi berterusan.