‘Pengeluaran Malaysia meningkat bermakna ada peluang untuk ekonomi bertambah baik?’
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan lonjakan 4.1% dalam pengeluaran perindustrian negara pada bulan Mei tahun ini berbanding tempoh sama 2021.
Menurut laporan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) bulan Mei 2022, sektor pembuatan mencatat peningkatan 6.9% dan sektor elektrik pada 2.8% sementara sektor perlombongan mengurang 4.9%.
Jelas Ketua Perangkaan Negara, Uzir Mahidin, sungguhpun mengalami lonjakan namun asas bulanan IPI menurun 1% ekoran berlakunya penurunan dalam komponen pembuatan dan perlombongan.
Merumuskan inti pati laporan tersebut,
- Pengeluaran sektor pembuatan meningkat 6.9% pada Mei 2022 berbanding catatan 6.2% semasa April 2022, dengan subsektor:
- Elektrik dan elektronik naik 15.5%.
- Kelengkapan pengangkutan dan produk pembuatan lain tambah 12.4%.
- Produk galian bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi canak 5.2%.
- Pertumbuhan sektor pembuatan pula didorong lonjakan pada:
- Industri berorientasikan domestik yang berkembang 8.7% ekoran pengeluaran kenderaan bermotor, treler dan separa treler serta pembuatan produk pemprosesan makanan.
- Industri berorientasikan eksport yang meraih 6.1% rentetan pengeluaran komputer, elektronik, produk optik, kimia dan produk kimia.
- Pengeluaran sektor perlombongan merosot 4.9% pada Mei 2022 apabila:
- Harga minyak mentah jatuh 6.7%.
- Indeks gas asli susut 3.6%.
- Indeks perlombongan turun 0.6%.
- Pengeluaran sektor elektrik mengembang 2.8% pada Mei 2022 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya manakala dari segi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik naik 1.5%.
Dalam pada itu, IPI bagi tempoh Januari ke Mei 2022 pula mencatat pengembangan 4.4% berbanding tempoh sama tahun lalu.