Kehangatan inflasi di Switzerland tanpa dijangka lebih perlahan pada bulan September setelah dua langkah kenaikan kadar faedah dilaksanakan Swiss National Bank (SNB).
Bagaimanapun, angka yang dicatatkan masih jauh melebihi julat sasaran ditetapkan bank pusat pada 0-2%.
Indeks harga pengguna (CPI) tahunan Switzerland dilaporkan meningkat kepada 3.3% pada bulan lalu, meleset daripada jangkaan pasaran untuk melonjak ke puncak tertinggi 29 tahun pada 3.5%.
Pada asas bulanan pula, harga pengguna mencatat penurunan 0.2% daripada peningkatan 0.3% yang direkodkan bulan sebelumnya.
Antara faktor utama kepada penurunan ini adalah berikutan kejatuhan harga bahan api, minyak pemanas, hotel dan penginapan tambahan. Sementara harga untuk pakaian dan kasut meningkat.
Mata wang Swiss Franc sedikit merosot berbanding US dolar dan euro susulan penerbitan data ini.
Terdahulu, SNB mengatakan ia bersedia untuk mengambil langkah selanjutnya untuk memerangi inflasi walaupun kenaikan harga di negara itu secara relatifnya sederhana berbanding negara utama lain.
Bank pusat itu telah menaikkan kadar faedahnya kepada 0.5%, menamatkan era hampir 8 tahun kadar berada dalam wilayah negatif.