Ketegangan yang berlarutan antara Rusia dan Ukraine telah menambahkan lagi risiko dalam pasaran sehingga mendorong permintaan safe-haven US dolar meningkat tinggi, menyebabkan pergerakan dolar loonie terus terbatas meskipun harga minyak mentah terus melonjak.
Menuju pembukaan sesi Eropah, dolar Kanada didagangkan 0.1% lebih rendah berbanding US dolar pada sekitar harga 1.2750.
Pelabur terus mendapatkan aset safe-haven ketika Rusia dijangka akan menyerang Ukraine pada 16 Februari. Walaupun ia hanya spekulasi oleh media-media Barat tetapi Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menggesa rakyatnya untuk mengibarkan bendera negara itu dan menyanyikan lagi kebangsaan pada tarikh tersebut.
Kebimbangan ini turut mendorong harga minyak mentah dunia untuk meningkat ke paras tertinggi lebih 7 tahun. Namun, dagangan dolar Kanada hanya mampu mendapat sedikit sokongan daripada pengukuhan tersebut.
Walaupun begitu, para pelabur masih mengharapkan dolar loonie untuk lebih bersinar minggu ini berikutan data inflasi Kanada yang akan diterbitkan pada hari Rabu dijangka menunjukkan peningkatan.
Sekiranya angka yang dikeluarkan positif, ia bakal menguatkan lagi keyakinan pasaran bahawa Bank Pusat Kanada (BOC) akan menaikkan kadar faedah pada bulan Mac seiring dengan Federal Reserve (Fed).