Dagangan mata wang dalam pasaran terus bergerak perlahan di tengah-tengah ketidakpastian mengenai isu geopolitik terbaharu di Poland.
Terdahulu, dilaporkan bahawa Rusia dipercayai telah melancarkan peluru berpandu ke atas Poland sehingga menyebabkan kehilangan dua nyawa.
Rentetan itu, pelabur mula bimbang bahawa ia akan meningkatkan lagi ketegangan antara Rusia dan NATO yang sebelum ini telah diburukkan oleh pencerobohannya di Ukraine.
Namun, impak yang dialami pasaran hanya sementara lebih-lebih lagi selepas terdapat laporan terbaru mengenai tembakan peluru berpandu tersebut mungkin disebabkan Ukraine yang mahu membalas serangan Rusia.
Malah, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden juga tidak menolak kemungkinan tersebut bahawa ia bukan disebabkan Rusia, mengatakan siasatan sepenuhnya akan dijalankan.
Teliti pergerakan semasa mata wang, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding mata wang utama 106.20 pada sesi Eropah.
Sementara itu, mata wang pound hanya memberi sedikit reaksi susulan data inflasi UK yang melonjak ke paras ketinggian baharu 41 tahun pada bulan Oktober.
Mata wang euro pula kekal stabil pada sekitar paras tertinggi hampir 3 bulan, menyusuli dagangan US dolar yang tidak menentu.
Kini, menjadi tumpuan pelabur seterusnya adalah terbitan data jualan runcit Amerika Syarikat dan inflasi Kanada pada sesi New York akan datang.