Permintaan terhadap aset safe-haven terus meningkat manakala kebanyakan mata wang utama menjunam lebih rendah pada sesi Eropah selepas Rusia melancarkan serangan ketenteraan terhadap Ukraine.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan 0.5% lebih tinggi berbanding pesaing utamanya, membawanya kukuh di paras tertinggi hampir satu bulan pada 96.70.
Pelabur akan diperlihatkan dengan penerbitan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat dan tuntutan pengangguran Amerika Syarikat pada sesi New York.
Walaupun begitu, tumpuan pelabur akan terus disasarkan kepada perkembangan mengenai konflik antara Rusia dan Ukraine yang semakin tegang pada ketika ini.
Susulan laporan serangan peluru berpandu terhadap infrastruktur dan pengawal sempadan Ukraine, Presiden Volodymyr Zelenskyy mengumumkan undang-undang tentera di seluruh negara.
Perkembangan terkini menunjukkan bahawa tentera Rusia sedang bergerak ke arah sempadan Ukraine dari Belarus. Tambahan daripada itu juga, Kremlin dilaporkan melancarkan serangan siber dan Kiev dikatakan telah menembak jatuh beberapa pesawat Rusia dan sebuah helikopter.
Keadaan yang semakin rumit ini terus menyokong safe-haven yen ke paras tertinggi tiga minggu, dan swiss franc pula hampir satu bulan berbanding dolar greenback.
Mata wang euro dan pound ke paras terendah tiga minggu berbanding USD, selepas para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dan UK memberi amaran untuk mengenakan sekatan lebih berat berikutan serangan Rusia.
Dolar Aussie dan kiwi yang merupakan mata wang sensitif risiko juga terkesan dengan serangan Moscow, di mana ia turut memberi impak kepada dagangan komoditi untuk melonjak tinggi.
Selain itu, dolar Kanada tergelincir ke paras terendah satu bulan meskipun dagangan minyak mentah dunia terus memuncak ke tahap tertinggi terbaharu, selepas dagangan minyak mentah Brent menembusi paras harga $100 setong buat pertama kali sejak September 2014.