Pertumbuhan industri mata wang kripto tidak dapat dinafikan lagi setelah banyak negara membangun mula membentangkan penyeliaan bersesuaian dengan aset digital ini.
Terbaharu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menggesa kerajaan untuk menerima penggunaan mata wang kripto secara sah di Malaysia memandangkan golongan belia majoritinya aktif dalam bidang ini, terutama perdagangan non-fungible token (NFT).
Sebagai rekod, kenyataan tersebut merupakan jawapan kepada pertanyaan ahli parlimen Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang-PH) berkaitan pendirian kerajaan terhadap perdagangan NFT yang menjadi topik di dalam Dewan Rakyat pada hari ini.
Pun begitu, perlaksanaan penyeliaan terhadap mata wang kripto berada di bawah bidangkuasa Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Susulan daripada itu, Datuk Zahidi berharap pihak kerajaan memberi kebenaran dan menerima kehadiran teknologi kripto ini supaya golongan belia yang aktif dalam NFT dapat dibantu dari segi penggunaan tenaga dan sebagainya.
Malah, beliau juga memberi jaminan penelitian yang serius terhadap ruang baharu ini kerana “ia adalah satu bentuk perniagaan dan program kewangan masa depan, terutama buat anak muda sekarang”.
Jika kerajaan meluluskan cadangan tersebut, ada potensi untuk Malaysia terus berkembang dari aspek ekonomi dan penggunaan teknologi kripto, terutama NFT.
Belajar lebih mendalam tentang NFT bersama Team INTRADAY.my, jom sertai group telegram INTRADAY.NFT. Klik di sini untuk sertai.