Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, OPEC+ memutuskan untuk berpegang pada perjanjian sedia ada dalam pengeluaran bulanan minyak mentah mereka.
Tambahan pengeluaran sebanyak 400,000 tong sehari dikekalkan untuk bulan Februari, walaupun varian coronavirus Omicron dilihat kurang memberi impak terhadap permintaan minyak.
Susulan keputusan itu, dagangan minyak mentah Brent terus melonjak melebihi paras harga $80 setong sebelum diniagakan sedikit susut di sekitar harga $79.80 setong pada sesi Asia hari ini.
Sementara niaga hadapan minyak WTI Amerika Syarikat juga menokok tinggi dengan diniagakan pada $76.77 setong, susut sedikit selepas menyentuh paras $77 pada sesi sebelum ini.
Keputusan ini juga mencerminkan keredaan kebimbangan terhadap lebihan pengeluaran pada suku pertama dan keinginan OPEC untuk memberi panduan yang konsisten kepada pasaran.
Selain itu, Amerika Syarikat yang sebelum ini menggesa OPEC untuk meningkatkan tambahan pengeluaran, menerima baik keputusan tersebut dengan turut menggembar-gemburkan penyelarasan ‘erat’ dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).