Kesuraman terus membelenggu pasaran minyak mentah ditekan oleh kembimbangan terhadap prospek permintaan yang semakin lemah ekoran risiko kemelesetan dan kebangkitan semula Covid-19 di China.
Menuju penghujung sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan suram pada $99 setong manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula diniagakan rendah pada $95 setong.
Dagangan Brent jatuh ke bawah harga $100 setong buat pertama kali dalam tempoh tiga bulan selepas kerugian sekitar 6.7% pada hari Selasa.
Sekatan baharu Covid-19 yang dilaksanakan di bandar kecil China yang menyebabkan ratusan ribu orang dikurung pada Selasa sekali gus memburukkan lagi kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi global.
Pelabur kini meletakkan tumpuan kepada bacaan inflasi AS yang dijangka terus hangat pada bulan Jun di mana ia boleh menyokong rancangan pengetatan agresif Federal Reserve (Fed) dan meningkatkan lagi risiko kemelesetan.
Turut menekan harga minyak adalah lonjakan tidak dijangka dalam bekalan minyak mentah AS sebanyak 4.76 juta tong pada minggu lepas, menurut data Institut Petroleum Amerika (API).
Sementara itu, OPEC menjangkakan permintaan minyak akan meningkat pada 2023 tetapi pada kadar yang lebih perlahan berbanding pada tahun 2022.