Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) memeri amaran bahawa krisis makanan mungkin bertahan selama bertahun-tahun sekiranya perang di Ukraine berterusan.
Memetik kepada temu bual Ketua WTO, Ngozi Okonjo-Iweala bersama BBC, beliau memberitahu bahawa negara-negara Afrika adalah yang paling terjejas akibat kekurangan gandum dan baja.
Hal ini kerana, berjuta-juta tan bijirin tersekat di gudang dan pelabuhan Ukraine tidak dapat dieksport kerana pencerobohan Rusia.
Ukraine ialah pengeksport utama gandum global yang menyumbang kepada 9% daripada pasaran dunia. Ia juga merangkumi sebahagian besar 42% daripada pasaran minyak bunga matahari global dan 16% daripada jagung dunia.
Berikutan kesesakan akibat sekatan Moscow di pelabuhan Laut Hitam dan lombong Rusia dan Ukraine di sepanjang pantai, sekitar 20 hingga 25 juta tan gandum tersekat di Kiev mengakibatkan harga bijirin global melambung tinggi.
Sebagai langkah untuk menyelesaikan masalah tersebut, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) cuba mewujudkan ‘koridor bijirin’ dengan pengiring tentera laut Turki untuk kapal tangki yang meninggalkan Odessa dan pelabuhan Ukraine yang lain.
Namun, usaha tersebut gagal apabila kedua-dua negara enggan berkompromi dengan syarat-syarat yang dikenakan.
Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov berkata Ukraine perlu membersihkan lombong dari pelabuhan Laut Hitamnya.
Sementara Ukraine pula meminta jaminan keselamatan sebelum memulakan penghantaran kerana bimbang Moscow akan menggunakan koridor tersebut untuk menyerang Odessa dari laut.