‘Apa agaknya rahsia Puma di sebalik prestasi memberangsangkan sehingga mengalahkan sejumlah pesaing lain?’
Gergasi pakaian sukan dari Jerman, Puma mencatat laporan pendapatan suku ke-2 (Q2) mengatasi jangkaan dan menetapkan unjuran tinggi untuk setahun penuhnya.
Ia juga dilihat berjaya menangani masalah di China lebih daripada pesaing senegaranya, Adidas.
Isi laporan menyaksikan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) Puma meningkat 34.4% kepada $148 juta berbanding purata ramalan penganalisis pada $131 juta.
Jualan Q2 pula mencanak 18.4% dalam terma pelarasan mata wang kepada $2.044 yang didorong pertumbuhan dalam semua kategori termasuk produk larian, latihan, sukan berpasukan dan bola keranjang.
Rentetan daripada prestasi di luar jangkaan tersebut, Puma dengan berani meletakkan unjuran jualan tahun penuhnya sebanyak 10% dengan potensi peningkatan sebelum ini sambil mengekalkan panduan EBIT setahun penuhnya.
Bercerita mengenai situasi di China yang masih di bawah pelaksanaan dasar Sifar-COVID, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bjorn Gulden menyatakan syarikat tidak mempertaruhkan kepada pertumbuhan ekonomi di sana pada 2022.
Tambahnya, keadaan di sana dilihat sukar namun tindakan pelaburan dalam R&D, inovasi dan pembangunan produk sejak beberapa tahun lalu mula membuahkan hasil.
Berbeza dengan persaing senegara Adidas yang menyalahkan sekatan di China sebagai punca penurunan jualan, Puma menggariskan gesaan boikot terhadap firma tekstil Barat ke atas layanan minoriti Uighur Xinjiang, China.
Dalam pada itu, satu lagi pesaing Puma iaitu Nike Inc pula meramalkan pendapatan Q1 di bawah unjuran ekoran penawaran diskaun dan bergelut dengan gangguan berkaitan pandemik di China.