Pada jam 9 pagi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.45 mata pada 1,557.03 daripada penutupan hari Selasa pada 1,554.58.
Indeks dibuka kukuh 0.90 mata pada 1,555.48.
Bursa dilihat memulakan sesi pagi sedikit bercampur hasil dorongan minat belian baharu semasa sentimen berhati-hati berdasarkan prestasi Wall Street.
Di pasaran meluas, pelabur menyaksikan kaunter rugi pada 210 mengatasi untung pada 152, manakala 250 kaunter pula tidak berubah, 1,631 tidak didagangkan dan 14 digantung.
Jumlah perolehan pada 310.77 juta unit bernilai RM111.02 juta.
Nota Malacca Securities Sdn Bhd menyatakan bahawa pelabur menjangkakan aktiviti pembelian berterusan menjelang musim pendapatan disebalik ketidaktentuan pada prestasi semalaman di Wall Street.
Tambahnya, sentimen keseluruhan pasaran mungkin diuji dengan kebimbangan impak Cukai Makmur terhadap keputusan korporat dan menjelang kenaikan kadar Bank Negara Malaysia pada hari ini (Rabu).
Saham berwajaran tinggi menyaksikan Malayan Banking Bhd (Maybank) tambah 4 sen pada RM9.40, Public Bank Bhd naik 1 sen pada RM4.65 dan Petronas Chemicals Group Bhd capai 2 sen pada RM9.91 sementara IHH Healthcare Bhd hilang 2 sen pada RM6.41.
Saham aktif memperlihatkan CSH Alliance Bhd lonjak 1 sen pada 12.5 sen sementara Serba Dinamik Holdings Bhd jatuh 1.5 sen pada 6 sen, Techna-X Bhd susut 0.5 sen pada 11 sen dan Bumi Armada Bhd hilang 1 sen pada 41 sen.
Di papan indeks, indeks FBM Emas meningkat 5.37 mata pada 11,115.83, indeks FBMT 100 mencapai 6.79 mata pada 10,794.28 dan indeks FBM Emas Shariah memulih 0.19 mata pada 11,548.73 sementara FBM ACE menyusut 23.51 mata pada 5,349.57 dan FBM 70 menurun 33.40 mata pada 13,267.57.
Segi sektor, indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 27.87 mata pada 16,688.31, indeks Industri Produk dan Perkhidmatan menurun 0.03 mata pada 197.13 dan indeks Perladangan menambah 34.15 mata pada 8,180.25.