Emas kekal didagangkan stabil walaupun optimisme kembali meningkatkan sentimen dalam pasaran dengan mendorong peningkatan permintaan terhadap aset berisiko.
Terbaharu, White House akhirnya mengesahkan bahawa sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Presiden Rusia Vladimir Putin akan berlaku pada akhir minggu ini.
Biden dikatakan bersetuju dengan pertemuan tersebut dengan syarat Rusia tidak akan menyerang Ukraine, selain turut menambah bahawa mereka sentiasa bersedia untuk diplomasi.
Susulan laporan tersebut, US dolar mencatat penurunan dan kebanyakan mata wang utama lain pula meningkat tinggi pada sesi Asia.
Sementara emas pula didagangkan stabil pada sekitar harga $1,898 per auns, susut sedikit dari paras ketinggian terbaharu lapan bulan pada $1,908 per auns yang dicapainya ketika awal sesi.
Walaupun optimisme ini kembali mengangkat kebanyakan mata wang utama, tetapi logam berharga emas tetap mendapat permintaan dengan sokongan sebagai safe-haven.
Hal ini kerana, Amerika masih memberi amaran bahawa Rusia sedang meneruskan persiapan untuk melancarkan serangan ke atas Ukraine tidak lama lagi.