Kelemahan US dolar yang berpanjangan akhirnya membantu euro untuk bangkit ke paras harga pariti $1 buat pertama kali dalam tempoh 5 minggu pada sesi Eropah.
Selain faktor penyusutan USD, mata wang itu turut disokong oleh jangkaan Bank Pusat Eropah (ECB) akan meningkatkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas pada mesyuarat polisi hari Khamis.
Berbanding kebanyakan mata wang utama, indeks dolar menjunam lebih rendah pada sekitar harga 110.15, pada waktu penulisan.
Ini susulan penyusutan dalam data keyakinan pengguna Amerika Syarikat pada Oktober berikutan kebimbangan yang meningkat terhadap inflasi dan kemungkinan kemelesetan tahun depan.
Bagaimanapun, pasaran kekal berwaspada memandangkan jangkaan untuk Federal Reserve akan meneruskan kenaikan kadar faedahnya pada mesyuarat polisi minggu depan, masih dikekalkan.
Sementara itu, mata wang pound turut melanjutkan pengukuhannya untuk menokok ke paras tertinggi 6 minggu berbanding US dolar selepas Perdana Menteri baharu UK, Rishi Sunak berjanji untuk membantu negara itu keluar daripada krisis ekonomi.
Pasaran turut menyambut baik keputusan Rishi Sunak untuk mengekalkan Jeremy Hunt sebagai menteri kewangan UK.
Meneliti pergerakan mata wang komoditi, dolar Aussie mengukuh ke paras ketinggian 3 minggu susulan bacaan memberangsangkan dalam data inflasi Australia.
Kenaikan turut disusuli oleh dolar New Zealand dan Kanada yang kini menantikan mesyuarat polisi Bank of Canada (BOC) pada sesi New York akan datang.
Yen pula lebih kukuh menghampiri paras harga yang disentuhnya pada awal minggu susulan campur tangan kedua oleh Jepun.