US dolar diperdagangkan bercampur-campur dengan meningkat lebih tinggi berbanding mata wang Eropah tetapi merosot berbanding dagangan mata wang komoditi pada sesi Asia.
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan bertemu para pemimpin Eropah yang juga merupakan anggita NATO pada hari Khamis, dengan lebih banyak sekatan ke atas Rusia dijangka bakal diumumkan.
Sementara Setiausaha Negara AS Anthony Blinken mengumumkan bahawa pentadbiran Biden secara rasmi menuduh tentera Rusia melakukan jenayah perang di Ukraine.
Hasil perbendaharaan AS 10 tahun sedikit berundur dari puncak tertingginya sejak Mei 2019 disebabkan ketidakpastian ini.
Seperti biasa, kebimbangan ini memberi kesan kepada mata wang Eropah yang pastinya terkesan jika sekatan terhadap import minyak dan gas dari Rusia dilaksanakan kerana ia boleh memberi kesan kepada ekonomi.
Mata wang pound antara mata wang yang berprestasi paling buruk, memadamkan keuntungan yang dicatatkan sebelum minggu ini dengan didagangkan pada sekitar harga 1.3200 berbanding USD.
Euro juga turut terkesan, tetapi secara keseluruhan pergerakan harga tidka banyak berubah, menyaksikan mata wang itu diniagakan sedikit tergelincir dari paras harga 1.100 berbanding greenback.
Dolar Aussie dan kiwi masih meneruskan pengukuhan untuk didagangkan di sekitar paras ketinggian 4 bulan pada sesi Asia. Sementara dolar Kanada juga lebih kukuh di tengah peningkatan harga minyak mentah dunia.