‘Banyak jugak faktor yang menyumbang kepada kejatuhan jurang besar Maybank ye.’
Laporan kewangan bagi suku pertama (1Q) Malayan Banking Bhd (Maybank) menyaksikan keuntungan bersih syarikat menurun sebanyak 15%.
Difahamkan bahawa keuntungan bersih syarikat menyusut dari RM2.39 bilion kepada RM2.04 bilion sementara hasilnya juga merosot dari RM12.22 bilion kepada RM11.91 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (1QFY22).
Selain itu, Maybank juga tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi tempoh 1QFY22.
Pada asas bersuku juga ia dilihat merudum dari RM2.06 bilion yang dicatat pada suku terakhir 2021 (4Q21), penurunan RM12 juta secara kasarnya.
Dalam satu pemfailan yang dikemukakan Maybank, syarikat menyatakan kejatuhan keuntungan bersih tersebut adalah disebabkan oleh tekanan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran.
Terangnya, sungguhpun pembukaan semula ekonomi serantau membawa peningkatan dalam pertumbuhan pinjaman dan mengurangkan caj pejejasan, kelemahan pasaran telah mengurangkan impak positif tersebut.
Menurut presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, trend positif 1QFY22 merentasi pasaran utama walaupun terdapat kesan berlarutan faktor global terhadap persekitaran operasi.
Tambahnya, walaupun prospek tahun ini bercampur, syarikat menumpukan pada peluang pertumbuhan merentasi segmen pelanggan dalam pasaran utama sambil mengekalkan kekuatan modal dan kecairan.
Setakat tengah hari tadi, saham Maybank didagangkan pada 1 sen atau 0.11% pada RM8.97 dengan nilai permodalan pasaran sebanyak RM107.37 bilion.