US dolar terus bergelut pada sekitar paras terendah dengan pasaran kini mengalihkan tumpuan kepada mesyuarat polisi FOMC yang bakal berlangsung awal pagi nanti (3.00 pagi waktu Malaysia).
Melangkah masuk ke sesi Eropah, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan mata wang utama didagangkan melemah pada paras terendah 6 bulan pada 104.00.
Terdahulu, raja mata wang itu menjunam parah selepas terkesan oleh bacaan data inflasi Amerika Syarikat yang menunjukkan penurunan kepada 7.1% pada bulan November daripada 7.7% sebelumnya.
Rentetan itu, pelabur menguatkan jangkaan untuk kenaikan kadar faedah lebih perlahan oleh Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat polisi terbarunya sebanyak 50 mata asas.
Beralih kepada perkembangan mata wang utama, euro terus mengekalkan keuntungan pada paras ketinggian 6 bulan yang dicapainya sesi sebelum ini dengan fokus pasaran kini turut terarah pada mesyuarat polisi European Central Bank (ECB).
Sementara mata wang pound pula sedikit berubah berikutan penerbitan data inflasi UK yang mula meningkat lebih perlahan daripada dijangkakan pada bulan lalu dengan catatan 10.7% daripada puncak tertinggi 11.1%.
Meskipun menurun, namun ia tidak memberi banyak kesan kepada prospek kadar faedah Bank of England (BOE) yang akan membuat keputusan pada hari esok (Khamis).
Di samping itu, mata wang yen terus mendapat manfaat daripada kelemahan US dolar untuk meningkat ke paras tertinggi 4 bulan selepas data inflasi AS dikeluarkan.