Selain aset berisiko ekuiti, komoditi minyak mentah turut alami penyusutan dengan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan kukuh semalam mengembalikan kebimbangan kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed).
Pada awal pagi tadi niaga hadapan minyak mentah Brent turun 3.4% pada $82.68 sementara minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) jatuh 3.8% pada $76.93.
Buat masa ini pasaran menjangkakan Fed akan kembali dengan pendirian agresifnya berkenaan kenaikan kadar faedah sungguhpun Jerome Powell bernada dovish sebelum ini.
Jelas penganalisis Price Futures, Phil Flynn, berita ekonomi yang kukuh semalam mencetus semula kebimbangan makroekonomi dan prospek Fed dengan dasar pengetatannya.
Sebelum terbitan data, harga minyak melonjak 2% dengan berita Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu termasuk Rusia (OPEC+) mengekalkan pendirian had pengeluaran kepada 2 juta tong sehari sehingga 2023.
Ia bukan satu keputusan yang mengejutkan memandangkan Kesatuan Eropah (EU) dan Group of 7 (G7) meletakkan had harga $60 setong bagi minyak Rusia ekoran sekatan yang dikenakan.
Turut sama menyumbang pengukuhan semalam adalah faktor pelonggaran sekatan di China selepas berbulan-bulan aktiviti di negara kuasa ekonomi ke-2 terbesar dunia itu tergendala.