‘Tamparan hebat buat ekonomi Ukraine, semua salah Rusia.’
International Monetary Fund (IMF) menjangkakan ekonomi Ukraine boleh mengecut sebanyak 35% tahun ini, jika perang dengan Rusia berterusan.
Badan pemberi pinjaman global tersebut menyatakan negara malang itu telah menghadapi kemerosotan ekonomi sebanyak 10% sejak pencerobohan Rusia ke atasnya, sehingga menyebabkan kemusnahan beberapa bandar, lapangan terbang serta mencetuskan krisis pelarian.
IMF yang sebelum ini telah meluluskan pinjaman sebanyak US$1.4 bilion berkata Ukraine memerlukan lebih banyak bantuan mulai sekarang.
Menurut laporan IMF, perang yang berterusan akan menyebabkan keadaan tidak stabil serta ketidakpastian pasaran boleh menyumbang kepada penguncupan ekonomi Ukraine sebanyak 25% ke 35%.
Melihat kepada tinjauan ekonomi semasa, Ukraine yang sebelum ini menerima pinjaman kecemasan dianggarkan akan menghadapi krisis ekonomi zaman perang yang teruk seperti Lubnan, Iraq dan Syria.
Hujar IMF lagi, krisis kemanuasiaan serta kemelesetan dan kos pembinaan semula yang besar turut menyumbang kepada faktor kebergelutan ekonomi Ukraine.
Walau bagaimanapun, ini bukan kali pertama Ukraine menghadapi krisis ekonomi yang berkaitan dengan Rusia, di mana pada tahun 2014 dan 2015 lalu mereka pernah bergelut dengan kejatuhan ekonomi sebanyak 6.6% dan 10% selepas penjajahan Moscow ke atas Crimea.
Dalam pada itu, ekonomi Ukraine menyaksikan peningkatan eksport sebanyak 3% pada tahun lalu, hasil dorongan penuaian bijirin dan pengeluaran dijangka meningkat 3.6% pada 2022.
Buat masa ini kerajaan Ukraine dilihat mengutamakan perbelanjaan pertahanan dan sosial serta obligasi hutang asingnya.
Selain itu, difahamkan bahawa syarikat-syarikat Ukraine masih membayar cukai dan wang masih mengalir dalam sistem kewangannya walaupun terdapat banyak cawangan bank ditutup.
Sementara itu, ketua bank pusat Ukraine, Kyrylo Shevchenko menyatakan aset Rusia yang dibekukan kerana sekatan boleh membantu untuk membina semula negaranya sebagai pampasan kepada ganti rugi ke atas pencerobohan.