Dagangan minyak mentah sedikit meningkat ketika pelabur mengikuti dengan rapat sidang kemuncak G7 yang sedang berlangsung di Jerman untuk sebarang berita mengenai isu minyak dan gas dari Rusia.
Pada pembukaan pasaran sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan meningkat pada sekitar harga $113 setong manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula sedikit berubah pada $107 setong.
Para pemimpin G7 dijangka akan berbincang mengenai cara untuk menangani isu harga tenaga yang meningkat dan mengurangkan keupayaan Rusia bagi membiayai perangnya di Ukraine dengan memperincikan sekatan ke atas eskport minyak dan gasnya.
Dalam pada itu, kumpulan tersebut juga akan membincangkan mengenai prospek untuk memulihkan rundingan nuklear Iran selepas Kesatuan Eropah (EU) cuba untuk memulakan semula perbincangan yang terhenti.
Sementara itu, keadaan di Ecuador semakin memburuk, menyebabkan Presiden Guillermo Lasso mengumumkan untuk menurunkan harga petrol dan diesel sebagai usaha menamatkan protes anti kerajaan yang telah berlangsung hampir dua minggu.
Sebelum itu, Kementerian Tenaga Ecuador memberi amaran pada hari Ahad bahawa pengeluaran minyak telah mencapai tahap kritikal dan mungkin dihentikan sepenuhnya dalam tempoh 48 jam kerana vandalisme, rampasan telaga minyak dan penutupan jalan telah menghalang pengangkutan peralatan dan diesel yang diperlukan untuk meneruskan operasi.