Menjejaki pergerakan pasaran mata wang menjelang dagangan akhir minggu, dolar greenback kekal didagangkan di paras tertinggi satu bulan walaupun telah berhenti daripada membuat kenaikan.
Berbanding kebanyakan mata wang utama lain, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback mengukuh sekitar harga 107.65 pada sesi Eropah.
Beberapa komen daripada pembuat dasar Federal Reserve (Fed) terus mendorong US dolar untuk mengatasi pesaingnya di mana Mary Dalu memberitahu kenaikan 50 atau 75 mata asas adalah wajar dilaksanakan pada September.
Sementara James Bullard pula menyatakan beliau cenderung untuk menyokong kenaikan kadar sebanyak 75 mata asas pada mesyuarat seterusnya.
Pengukuhan raja mata wang itu terus mendorong dagangan mata wang utama lebih rendah, menyaksikan euro tergelincir menghampiri paras pariti harga (€1=$1) , dan juga terendah sejak pertengahan Julai.
Dalam pada itu, mata wang pound terus memperpanjangkan penyusutan walaupun data yang diterbitkan menunjukkan jualan runcit UK melonjak 0.3% pada bulan Julai setelah mencatat penurunan pada Jun.
Mata wang komoditi, dolar Aussie dan New Zealand juga lebih parah, memperlihatkan masing-masing diniagakan di paras terendah satu bulan berbanding greenback.
Dolar Kanada turut merosot lebih jauh ketika tumpuan pasaran kini beralih kepada penerbitan data jualan runcit Kanada pada sesi New York.